Tuesday, September 23, 2008

Tadbir BBM di SMK Dato' Harun

SEBENTAR tadi saya dengan partner sekumpulan, Kamarul ke sekolah SMK Dato' Harun, Petaling Jaya untuk mentadbir Bahan Bantu Mengajar yang kami hasilkan sebagai kerja kursus Teknologi Pendidikan Islam. Ini sememangnya satu peluang keemasan bagi kami yang tidak sepatutnya kami tolak. Ini adalah sebagai membayar hutang satu jam masa kuliah yang tidak dihabiskan pada petang Jumaat dua minggu lepas kerana kelas yang ditunda ke waktu petang hanya dapat dilaksanakan dua jam sahaja dek masa yang tidak mengizinkan. Sebagai ganti, setiap kumpulan akan mentadbir BBM di sekolah Ustazah Salina mengajar.

Saya sampai agak lewat berbanding dua kumpulan muslimat, yg saya nampak td kumpulan Diyana dan kumpulan Abidah. Sebelum ke SMK Dato' Harun saya ke SMAKL untuk mengambil markah ujian Bahasa Arab dari ustazah Nor Laila, semalam masa pergi tadbir ujian beliau lupa fotostat jadi hari ni pergi ambil.




Kena buat di kelas tingkatan 2 Dahlia, kelas sederhana kata ustazah. Giliran saya dulu. Walaupun bunyinya tadbir BBM tapi pelaksanaannya tak dapat tidak kena la mengajar. Alhamdulillah respon pelajar positif dan mereka menikmati pengajaran saya dan Kam. 6 orang pelajar India duduk di tempatnya sehinggalah tak berapa lama sebelum Kam habis gilirannya lepas sorang2 datang minta izin nak pergi ke tandas.

Saya ambil tajuk 'Menjaga Maruah Diri'. Induksi set saya biasa sahaja tapi sambutan pelajar agak luarbiasa. Saya tayangkan gambar2 artis berpakaian tak tutup aurat atau tak senonoh dan yang berpakaian sopan. saya minta mereka komen. Riuh kelas dengan komentar mereka. Kemudian saya ajukan soalan pra-ujian, pun riuh. Semua ambil bahagian. Tapi ada yang terkena pada mereka. Yang perempuan kata tutup aurat elok tudung labuh tapi mereka tudung singkat. Persoalan ini saya lontarkan kepada mereka. Masing2 tersipu malu. Saya menyentuh sedikit dan cuba memberi kesedaran peri penting memakai tudung labuh. Saya juga bawakan contoh kebobrokan masyarakat yang hanya pentingkan fesyen tanpa pedulikan maruah diri sendiri.

Saya ceritakan kepada mereka tentang sebuah papan iklan di Sunway Piramid yang memaparkan seorang model berpakaian seksi dan menjolok mata dengan tajuk iklannya 'Gaya Raya'. Ayatnya bunyi sedap tapi gambarnya masyaAllah sakit mata mandang. Tak senonoh langsung. Saya tanya kenapa jadi macam tu... semua bagi jawapan. Macam-macam jawapannya. Kebanyakan menjawab "Tak cukup kain ustaz! tak cukup kain ustaz!". Saya terangkan kpd mereka dengan lebih lanjut. Tentang celarunya masyarakat moden sekarang ni yang sudah keliru apa yang betul apa yang salah. Masyarakat terdidik dengan gaya hidup moden dan kebaratan. Mereka hanya fikir fesyen je tanpa fikir bahawa pakaiannya mencerminkan jatidirinya, agamanya, maruahnya! Dengan cara berpakaian kita terdedah kepada bermacam kemungkinan. Manusia sekarang sudah terlalu banyak terdedah kpd maksiat dan dosa. Cara berpakaian menjolok mata akan mengundang pelbagai penyakit sosial. Maka berlakulah kes rogol, sumbang mahram dan sekutu-sekutu yang sewaktu dengannya.



Saya habiskan bahagian saya dalam lebih kurang 30 minit. Kerana masa terlalu suntuk maka saya tidak lakukan penilaian. Terus saya beri laluan kepada Kam untuk membentangkan bahagiannya yang juga bahagian Adab dan Akhlak Islamiah iaitu Menjana Keharmonian Hidup. Yang menarik tentang slide show Kam ialah setiap subtopik mempunyai video. Untuk tajuk toleransi cerita Upin dan Ipin. Cerita tentang geng Upin dan Ipin bertanding labah-labah. Saya ambil video untuk sesi ini. Semua seronok tengok kartun ni. Siapa yang tak minat dengan Upin dan Ipin. Ceritanya yang tersendiri dan ada unsur dakwah yang mengesankan. Mampu membuat sesiapapun berfikir dengan serius dengan dialognya meski kartunnya amat melucukan. Untuk tajuk tolong-menolong video iklan Hari Raya Petronas. Tentang seorang pemandu kereta yang terserempak dengan seorang tua berjalan kaki dan berpayung dalam hujan lebat dan berhenti agak jauh di depan kerana berniat untuk menumpangkan. Namun kerana waktu berbuka sudah terlalu hampir maka si pemandu meninggalkan orang tua tadi yang sudah berusaha berkejar ke keretanya dengan termengah-mengah. Namun si pemandu yang tergesa-gesa tadi kemalangan merempuh pokok tumbang namun selamat kerana beg udara menyekatnya dari terhantuk. Akhirnya orang tua tadi sampai di tempat kejadian dan mengejutkan si pemandu yang sememangnya dalam kejutan kemalangan. Orang tua mengajaknya berbuka di rumahnya dan si pemandu pula yang bukan setakat menumpang teduh payung si orang tua bahkan menumpang teduh rumah orang tua tadi serta dihidangkan dengan juadah berbuka puasa. Betapa sinis sindiran terhadap orang pentingkan diri-sendiri dalam iklan ini.



Beberapa minit sebelum kelas kami berakhir kelihatan seorang guru menghampiri kelas kemudian berpatah balik sebelum saya sempat mengecam wajahnya. Saya tahu kami sudah terlebih masa dan terambil masa guru tadi. Kemudian saya meminta murid menulis komen seperti yang mereka buat pada dua kumpulan sebelum kami. Ada murid yang hanya secebis kertas kemudian bahagi dua pula dengan kawan. Melihat mereka saya ambil kertas saya dan beri kepada mereka. Saya dan Kam mengemaskan alat-alat yang kami bawak tadi dan ketika ingin keluar murid-murid bangun dan mengucapkan "terima kasih ustaz!". Yang terharu, ada seorang pelajar yang berkata "Ustaz datanglah lagi ya...". saya merasakan suatu kepuasan apabila mengajar murid seperti mereka. Mereka seperti ketandusan sesuatu yang seharusnya disiram dan dibajai dengan cermat oleh ibu bapa dan masyarakat sekitar. Saya mula berfikir, alangkah bagus nanti kalau diizin Tuhan saya dapat praktikal mengajar di sekolah ini. Meski ustazah Nor Laila di SMAKL mengesyorkan saya LM di sana dan mengatakan saya boleh memohon penginapan percuma di kuarters guru, namun saya rasa saya harus mencabar diri saya mengajar di sekolah yang lebih mencabar suasana sekolah dan fa'il perangai staf dan pelajar-pelajarnya.


1 comment:

ilina said...

teruskan usaha yang baik walau di mana berada

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...