Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“ KEPIMPINAN ADALAH SATU AMANAH ”
(23 April 2010 / 8 Jamadilawal 1431H)
Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.Mimbar pada hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk: “KEPIMPINAN ADALAH SATU AMANAH ”.
Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Kepimpinan yang unggul dan berintegriti merupakan asas kepada kualiti dan kecemerlangan dalam sesebuah organisasi. Kepakaran dan kemahiran dalam kepimpinan serta perwatakan peribadi boleh mempengaruhi corak kepimpinan dan menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara. Keluhuran dan keperibadian itu juga dapat mencerminkan sikap dan perwatakan masyarakat atau rakyat yang dipimpinnya.
Islam amat menitikberatkan aspek kepimpinan yang memiliki kualiti nilai insan yang hebat dan boleh menjadi contoh kepada seluruh masyarakat di dunia ini. Sesungguhnya umat Islam amat beruntung kerana kita mempunyai seorang tokoh yang boleh dijadikan panduan dalam merealisasikan asas kepimpinan ini iaitu baginda Rasulullah SAW. Baginda adalah contoh yang dikagumi bukan sahaja oleh Umat Islam malah disanjungi oleh ramai cendekiawan Barat kerana mempunyai kebolehan dalam memimpin sebuah negara dan bertanggungjawab penuh ke atas perlaksanaannya. Beliau memikul tanggungjawab dengan penuh amanah selari dengan kehendak Allah SWT sehingga masyarakat Arab menggelarnya al-Amin. Sabda Rasulullah SAW ;
Bermaksud:" Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya”(Riwayat al-Bukhari)
Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Kepimpinan amatlah penting bagi membentuk kehidupan yang sempurna. Maka lantaran itulah Allah SWT mengutus para rasul-Nya untuk mempimpin umat-umat terdahulu untuk menjadi manusia yang memiliki sifat-sifat yang menepati dengan kehendak Allah SWT. Allah SWT mengutuskan para rasul-Nya untuk menjadi pemimpin kerana ciri-ciri kepimpinan yang ada pada mereka boleh digunakan oleh pemimpin-pemimpin lain di sepanjang zaman. Firman Allah SWT di dalam surah An-Nahl ayat 36 :
Bermaksud : " Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul ( dengan memerintahkannya menyeru mereka): " Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taaghut ". Maka di antara mereka ( yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan….."
Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Mempimpin sesebuah negara adalah suatu amanah yang diberikan oleh Allah SWT dan mereka yang diberi tanggungjawab ini perlu tunduk dan patuh sepenuhnya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 72 :
Bermaksud :" Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan ( pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan."
Memimpin golongan masyarakat pula adalah tanggungjawab bagi memenuhi keperluan mereka samada dari segi jasmani iaitu hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan, kebajikan, kesihatan, ekonomi dan pengurusan dan dari segi rohani iaitu hal yang berkaitan dengan akidah, syariah, akhlak dan kemanusiaan.
Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Sehubungan dengan itu, Islam amat menekankan kepimpinan yang cemerlang, berkualiti dan terbukti unggulnya. Kepimpinan itu semestinya didokong oleh keimanan kepada Allah SWT, cinta dan menghayati sunnah Rasulullah SAW serta berakhlak mulia di mana ianya mampu mengadakan hubungan yang harmoni dengan semua peringkat masyarakat. Ciri-ciri kepimpinan ini akan memberi kesan kepada masyarakat, mereka akan menghormati dan menyanjungi corak kepimpinan yang diberikan.
Di samping itu, kebijaksanaan dalam kepimpinan juga merupakan aset penting dalam pembangunan sesebuah organisasi. Antara kebijaksanaan yang dimaksudkan itu ialah kemampuan diri mengawal emosi pada semua situasi dengan tenang dan terkawal.
Kita melihat kepimpinan Khalifah Umar al- Khattab RA yang boleh dijadikan contoh kerana beliau adalah seorang pemimpin yang sangat disayangi oleh rakyatnya di atas perhatian dan tanggungjawabnya yang luar biasa terhadap rakyat. Ada suatu peristiwa di mana serombongan kafilah yang dalam perjalanan pulang ingin bermalam di pinggir kota Madinah dengan membawa barang dagangan yang banyak. Atas keperihatinan Khalifah Umar al- Khattab RA, beliau mengajak hartawan Abdul Rahman bin Auf untuk mengawal dan menjaga keselamatan barang dagangan rombongan kafilah tersebut daripada gangguan pencuri.
Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Mimbar amat yakin, kepimpinan yang beramanah dan bertanggungjawab dalam masyarakat mencerminkan suasana kepimpinan yang cemerlang. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 124:
Maksudnya: “Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”
Apa yang jelas, terdapat dua perkara asas dalam ayat ini. Pertama, kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah SWT. Kedua, kepimpinan hendaklah mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.
Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar menyeru seluruh pemimpin di pelbagai peringkat supaya mengambil langkah-langkah berikut :
Pertama:Bertindak selari dengan apa yang dikata atau yang dijanjikan supaya kita
menjadi manusia yang disayangi, dan dihormati.
Kedua: Hendaklah bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan orang
yang dipimpin di dunia dan di akhirat.
Ketiga; Menginsafi bahawa mengkhianati amanah kepimpinan adalah satu dosa
besar yang akan menerima hukuman Allah di akhirat nanti.
Firman Allah SWT dalam surah asy- Syu'araa' ayat 215-217:
Maksudnya: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan! Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani
No comments:
Post a Comment