Friday, April 23, 2010

MENCARI PERMATA YANG HILANG

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“MENCARI PERMATA YANG HILANG”
(19 Mac 2010/ 3 Rabiulakhir 1431H)


Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekelian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar benar takwa, bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya orang yang paling baik di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertakwa. Tajuk khutbah kita pada hari ini ialah : “ Mencari Permata Yang Hilang”.

Sidang Jumaat Yang di rahmati Allah,

Allah SWT mengutuskan Islam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam keadaan mendapat tentangan masyarakat . Ketika permulaan Islam di Mekah, bilangan pengikut amat sedikit terdiri daripada ahli keluarga terdekat dengan Rasulullah dan dari kalangan hamba serta orang miskin. Mereka ditindas dan diperlakukan seperti manusia yang tidak punya nilai dan harga diri. Berkat kesungguhan Rasulullah SAW, para sahabat dan generasi awal Islam dalam menyebarkan risalah tauhid, maka Islam telah berkembang keseluruh pelosok alam dan menjadi penawar serta penjana dalam membina ketamadunan, yang mana rahmat, hikmah, dan manafaatnya dapat dirasai oleh seluruh umat manusia. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 107:

Maksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Sejarah mencatatkan bahawa Islam telah mencapai zaman kegemilangan di zaman pemerintahan khulafa’ al-Rasyidin di Madinah, zaman pemerintahan Umawi di Damsyik dan zaman kerajaan Abbasiyah di Bahgdad. Kerajaan-kerajaan ini menjalankan dasar perluasan kuasa dan menyebarkan Islam sehingga dapat menguasai satu pertiga dunia yang meliputi Semenanjung Tanah Arab, Parsi, sebahagian Empayar Rom, Afrika Utara, Sepanyol, Perancis dan Turki.

Malangnya kegemilangan Islam ini tidak dapat bertahan, kerana umat Islam pada ketika itu dilanda masalah dalaman dan tekanan dari luar, pemerintahan yang tidak cekap, mabuk dengan kemewahan dan hidup dengan keseronokkan, lupa diri daripada mengingati Allah SWT. Negara-negara yang dikuasai pada ketika itu satu demi satu terlepas dari penguasaan kerajaan Islam. Kerajaan Islam yang terakhir di bawah sistem Khalifah adalah kerajaan Uthmaniah di Turki. Ini digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadith yang diriwayatkan oleh Muslim:

Mafhumnya: “ Dari Abu Hurairah R.A berkata, Rasulullah SAW bersabda: Islam mula tersebar dalam keadaan kesukaraan(asing). dan ia akan kembali asing pula. maka beruntunglah orang-orang yang asing”(orang Islam yang menghadapi kesukaraan ini ).


Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Kita merasa amat sedih sekali, kerana kegemilangan Islam yang kita bangga-banggakan hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Suatu masa yang kita ketahui sebagai zaman kegelapan barat, adalah zaman bangkitnya kemajuan ilmu dan ketamadunan Islam yang berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah di sebelah Timur iaitu sewaktu pemerintahan Kerajaan Abbasiyah yang dipimpin oleh barisan Khalifah yang berwibawa. Nama Islam pada masa itu harum seluruh alam. Berbagai penerokaan ilmu baru yang dipelopori oleh para ulama’, para sarjana atau ilmuan Islam pada ketika itu, antaranya bidang perubatan dipelopori oleh Ibnu Rusyd, bidang psikologi dan emosi diasaskan oleh Ibnu Sina, ilmu Astronomi dipelopori oleh al-Khawarizmi dan berbagai lagi cabang penerokaan ilmu yang masih belum dikaji oleh orang-orang barat. Berbagai inovasi baru yang diterokai oleh umat Islam masa itu. Justeru, terbukti kepada dunia bahawa Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah agama universal, tunjang dan akarnya adalah dalam bentuk hubungan dengan Allah SWT, manakala dahan dan rantingnya adalah mencakupi aspek kehidupan bermasyarakat, bermuamalah dan bernegara.

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Kegemilangan dan ketamadunan Islam yang selalu kita ceritakan kepada anak cucu kita, kini hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Kegemilangan dan ketamadunan itu telah hilang disebabkan kealpaan umat Islam itu sendiri. Dengan hanya bercerita sahaja, ia tidak akan dapat mengubah apa-apa fakta sejarah lampau tersebut, melainkan kita sendiri berusaha mencari hak-hak umat Islam yang telah hilang atau terlepas dari gengaman tangan umat Islam suatu ketika dahulu. Antara langkah-langkah yang seharusnya kita lakukan ialah:

1) Kita hendaklah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Dalam masa yang sama kita tanamkan keyakinan kita kepada Allah SWT dan mempertahankan hak Islam. Maka barulah kita dapat membina semula kekuatan yang Allah SWT kurniakan kepada generasi terdahulu, yang sanggup berjuang demi kasih dan cinta mereka terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya, mengatasi cinta dan kepentingan kepada diri mereka sendiri, keluarga dan harta benda.
2) Kita hendaklah menjadikan agenda penguasaan ilmu sebagai teras atau tunjang kemajuan sains dan teknologi dalam membina ketamadunan baru yang mempunyai identiti, jati diri dan acuan tersendiri.
3) Seiring dengan kemajuan menuju kecemerlangan, kita tidak dapat lari dari memperkasakan aspek pembangunan insan dan jati diri. Kerana apa guna negara kita maju, tetapi masyarakat atau rakyatnya hidupnya dalam ketakutan kerana banyak berlakunya kes-kes jenayah, gejala sosial, keruntuhan akhlak dan sebagainya.
4) Jangan kita cepat merasa puas dengan apa yang telah kita capai, kerana indeks atau penanda aras suatu tahap kemajuan itu akan sentiasa berubah pada setiap masa. Justeru, kita mesti melipatgandakan usaha kita untuk mencapai ke suatu tahap yang lebih tinggi.
5) Konsep taawun iaitu bertolong bantu dalam memajukan saudara-saudara seagama . Tidak kiralah apa bentuk dan bidang, umpamanya pertukaran teknologi makanan dan pertanian, perkongsian teknologi maklumat, pertukaran tenaga kepakaran dan berkemahiran tinggi dalam industri jentera berat dan sebagainya. Ini semua dapat membantu dan supaya ukhuwah Islamiah itu akan menjadi lebih kukuh demi menjaga hak-hak dan kepentingan Islam itu sendiri.
6) Kita umat Islam hendaklah meletakkan keyakinan yang sepenuhnya dan kebergantungan kita kepada Allah SWT, tidak pada yang lain. Kerana hidup dan mati kita hanya untuk mencari keredhaan Allah semata-mata.

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Mimbar ingin berpesan kepada semua bahawa inilah butir-butir permata yang kita mesti cari, dan mesti kita kutip kembali dari gengaman pihak-pihak yang telah merampasnya dari generasi awal Islam yang telah menghancurkan khidmat dan bakti mereka terhadap Islam dan umatnya. Rasulullah SAW dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Abu Hurairah R.A:

Mafhumnya: “ Kata-kata hikmat itu telah hilang (terlepas) dari orang mukmin,maka di mana sahaja kamu dapatinya, maka kamu lebih layak memilikinya”.

Maksud: “Hai orang yang beriman! Jagalah dirimu. Orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Kepada Allahlah tempat kembalimu semuanya, maka Ia akan menerangkan kepadamu apa yang kamu lakukan.(Surah al-Maa’idah ;105)”

KEPIMPINAN ADALAH SATU AMANAH

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“ KEPIMPINAN ADALAH SATU AMANAH ”
(23 April 2010 / 8 Jamadilawal 1431H)


Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.Mimbar pada hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk: “KEPIMPINAN ADALAH SATU AMANAH ”.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Kepimpinan yang unggul dan berintegriti merupakan asas kepada kualiti dan kecemerlangan dalam sesebuah organisasi. Kepakaran dan kemahiran dalam kepimpinan serta perwatakan peribadi boleh mempengaruhi corak kepimpinan dan menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara. Keluhuran dan keperibadian itu juga dapat mencerminkan sikap dan perwatakan masyarakat atau rakyat yang dipimpinnya.
Islam amat menitikberatkan aspek kepimpinan yang memiliki kualiti nilai insan yang hebat dan boleh menjadi contoh kepada seluruh masyarakat di dunia ini. Sesungguhnya umat Islam amat beruntung kerana kita mempunyai seorang tokoh yang boleh dijadikan panduan dalam merealisasikan asas kepimpinan ini iaitu baginda Rasulullah SAW. Baginda adalah contoh yang dikagumi bukan sahaja oleh Umat Islam malah disanjungi oleh ramai cendekiawan Barat kerana mempunyai kebolehan dalam memimpin sebuah negara dan bertanggungjawab penuh ke atas perlaksanaannya. Beliau memikul tanggungjawab dengan penuh amanah selari dengan kehendak Allah SWT sehingga masyarakat Arab menggelarnya al-Amin. Sabda Rasulullah SAW ;

Bermaksud:" Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya”(Riwayat al-Bukhari)

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Kepimpinan amatlah penting bagi membentuk kehidupan yang sempurna. Maka lantaran itulah Allah SWT mengutus para rasul-Nya untuk mempimpin umat-umat terdahulu untuk menjadi manusia yang memiliki sifat-sifat yang menepati dengan kehendak Allah SWT. Allah SWT mengutuskan para rasul-Nya untuk menjadi pemimpin kerana ciri-ciri kepimpinan yang ada pada mereka boleh digunakan oleh pemimpin-pemimpin lain di sepanjang zaman. Firman Allah SWT di dalam surah An-Nahl ayat 36 :

Bermaksud : " Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul ( dengan memerintahkannya menyeru mereka): " Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taaghut ". Maka di antara mereka ( yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan….."

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Mempimpin sesebuah negara adalah suatu amanah yang diberikan oleh Allah SWT dan mereka yang diberi tanggungjawab ini perlu tunduk dan patuh sepenuhnya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 72 :


Bermaksud :" Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan ( pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan."

Memimpin golongan masyarakat pula adalah tanggungjawab bagi memenuhi keperluan mereka samada dari segi jasmani iaitu hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan, kebajikan, kesihatan, ekonomi dan pengurusan dan dari segi rohani iaitu hal yang berkaitan dengan akidah, syariah, akhlak dan kemanusiaan.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Sehubungan dengan itu, Islam amat menekankan kepimpinan yang cemerlang, berkualiti dan terbukti unggulnya. Kepimpinan itu semestinya didokong oleh keimanan kepada Allah SWT, cinta dan menghayati sunnah Rasulullah SAW serta berakhlak mulia di mana ianya mampu mengadakan hubungan yang harmoni dengan semua peringkat masyarakat. Ciri-ciri kepimpinan ini akan memberi kesan kepada masyarakat, mereka akan menghormati dan menyanjungi corak kepimpinan yang diberikan.
Di samping itu, kebijaksanaan dalam kepimpinan juga merupakan aset penting dalam pembangunan sesebuah organisasi. Antara kebijaksanaan yang dimaksudkan itu ialah kemampuan diri mengawal emosi pada semua situasi dengan tenang dan terkawal.
Kita melihat kepimpinan Khalifah Umar al- Khattab RA yang boleh dijadikan contoh kerana beliau adalah seorang pemimpin yang sangat disayangi oleh rakyatnya di atas perhatian dan tanggungjawabnya yang luar biasa terhadap rakyat. Ada suatu peristiwa di mana serombongan kafilah yang dalam perjalanan pulang ingin bermalam di pinggir kota Madinah dengan membawa barang dagangan yang banyak. Atas keperihatinan Khalifah Umar al- Khattab RA, beliau mengajak hartawan Abdul Rahman bin Auf untuk mengawal dan menjaga keselamatan barang dagangan rombongan kafilah tersebut daripada gangguan pencuri.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Mimbar amat yakin, kepimpinan yang beramanah dan bertanggungjawab dalam masyarakat mencerminkan suasana kepimpinan yang cemerlang. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 124:

Maksudnya: “Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”

Apa yang jelas, terdapat dua perkara asas dalam ayat ini. Pertama, kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah SWT. Kedua, kepimpinan hendaklah mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.
Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar menyeru seluruh pemimpin di pelbagai peringkat supaya mengambil langkah-langkah berikut :
Pertama:Bertindak selari dengan apa yang dikata atau yang dijanjikan supaya kita
menjadi manusia yang disayangi, dan dihormati.
Kedua: Hendaklah bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan orang
yang dipimpin di dunia dan di akhirat.
Ketiga; Menginsafi bahawa mengkhianati amanah kepimpinan adalah satu dosa
besar yang akan menerima hukuman Allah di akhirat nanti.

Firman Allah SWT dalam surah asy- Syu'araa' ayat 215-217:
Maksudnya: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan! Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani

Friday, April 9, 2010

Berikan Kami Peluang Hidup

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar yang mulia ini akan membincangkan tajuk " BERILAH PELUANG AKU HIDUP " .

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Dunia ini pernah dicemarkan oleh sejarah hitam dalam tamadun manusia disebabkan ketiadaan aqidah dalam kehidupan. Masyarakat ketika itu hilang sifat kemanusiaan sehingga sanggup membunuh dengan menanam anak-anak terutama anak-anak perempuan hidup-hidup kononnya mempertahankan maruah diri, keluarga dan kabilah. Amalan jahiliyah tersebut kini berulang lagi malah lebih dahsyat di mana sesetengah bayi dibuang di merata-rata tempat kerana malu kepada masyarakat. Tempat-tempat pembuangan ialah di belakang rumah, di tepi jalan, di tepi hospital, di masjid, di tepi sungai, dikedai, ditempat pembuangan sampah, dihentian bas, ditandas dan lain-lain lagi.

Menurut statistik daripada pihak berkuasa di dapati jenayah membuang bayi terus meningkat dari tahun ketahun. Umpamanya pada tahun 2009 sebanyak 79 kes berbanding 76 kes pada 2007 di seluruh negara. Sepanjang tempoh 2004 sehingga 2009 sebanyak 485 kes . Sebilangan besar suspek tergolong dalam kumpulan umur 18 hingga 25 tahun.

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Kepada kita dan remaja khasnya, mimbar ini ingin mengingatkan bahawa zina dan tindakan membuang bayi adalah merupakan perbuatan jenayah yang amat besar dosanya serta berat hukumannya di sisi Islam. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Isra’ ayat 32:

Maksudnya: " Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." .

Manakala firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa' ayat 93 pula ialah:

Maksudnya: " Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar " .


Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Mengikut kajian terdapat beberapa faktor menyebabkan berlakunya jenayah ini. Faktor terbesar ialah keterlanjuran dalam menjalin hubungan percintaan, pergaulan dan amalan seks bebas sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah mengikut hukum syarak, institusi keluarga yang bermasalah tiada persefahaman, bergaduh atau bercerai. Oleh itu setiap ibubapa perlu sedar bahawa masa hadapan anak-anak terletak kepada suasana tarbiyah dalam rumahtangga yang mereka bina. Jika suasana keimanan, keharmonian dan kasih sayang, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebahagiaan di dunia dan dia khirat.

Firman Allah SWT di dalam surah At-Thuur ayat 21:

Maksudnya: " Dan orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, kami hubungkan dengan mereka zuriat mereka dan kami tidak mengurangi sedikit pun dari pahala amal-amal mereka tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya " .

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Selain itu, faktor dalaman diri remaja juga merupakan punca kepada gejala ini. Kurang fahaman agama dan akhlak yang luhur menyebabkan mereka dikuasai oleh nafsu jahat sehingga berlakunya zina dan menyebabkan lahirnya anak luar nikah yang akhirnya dibuang kerana takut dan malu kepada keluarga serta masyarakat.

Penayangan filem berunsur seks oleh media elektronik, ( VCD ) lucah serta gambar pornografi di dalam internet juga menjadi punca yang turut merangsang para remaja terjebak ke lembah perzinaan yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah di samping berleluasanya program-program hiburan yang melampau dalam masyarakat.

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Perbuatan membuang bayi dimerata tempat dan terdedah kepada berbagai risiko termasuk kematian; di samping ada di antaranya menjadi mangsa binatang buas adalah satu jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan. Malah haiwan lebih baik kerana mengasihani dan memelihara anak dan sanggup mati demi keselamatan anak-anak. Inilah implikasinya apabila rohani para remaja tidak di isi dengan ajaran agama. Renungilah amaran Allah SWT di dalam surah Al-A'raf ayat 179:

Maksudnya: " Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka jahanam kebanyakkan dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi ) tidak mahu memahami dengannya dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai " .

Justeru itu, mimbar ini menyeru semua pihak di negara ini agar sama-sama memainkan peranan dalam menangani kemelut ini dengan mengambil langkah-langkah berikut :

Pertama - Menjadi masyarakat yang prihatin dengan situasi yang berlaku di sekeliling kita;

Kedua - Program-program dakwah perlulah dipertingkatkan dan digerakkan secara bersepadu;

Ketiga - Pihak yang bertanggungjawab perlulah mengawal pengedaran bahan-bahan lucah daripada tatapan anggota masyarakat terutama remaja;

Keempat - Program-program hiburan melampau yang merosakkan akhlak perlulah dikawal;

Kelima - Ibu bapa perlulah mengawal pergerakan anak-anak daripada terlibat dengan pergaulan bebas;

Keenam - Hukuman berat kepada mereka yang terlibat dalam melakukan jenayah pembuangan bayi perlulah diadakan;

Ketujuh - Bagi remaja yang terlanjur diinginkan janganlah membunuh bayi yang tidak berdosa. Berilah mereka peluang untuk hidup dan bersedialah untuk bertanggungjawab atas kesilapan diri bersama dengan pasangan masing-masing;

Kelapan- Masyarakat seterusnya tidak menghukum dan meminggir mereka yang tersilap malah memberi peluang kepada mereka kembali ke pangkal jalan.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104:

Maksudnya: " Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya " .
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...