Friday, June 26, 2009

Zaman sekarang beginilah kebanyakannya

Bagi saya.. ayat yang saya kutip dalam sebuah akhbar dalam talian agak menggelikan hati dan menusuk kalbu untuk direnungkan, kerana setelah bertahun 'menjalin hubungan' maka inilah yang ditulis oleh wartawan dalam sesi fotografi mereka - Bahagia mendakap kehidupan Nita dan Zahid kini, namun jujur mereka akui, perancangan menamatkan zaman bujang masih belum difikirkan.

Saya tidak pasti apa yang kebanyakan orang faham perkahwinan itu apa sebenarnya. Tapi apa yang saya perhati orang semakin tersasar jauh tuntutan sebenar perkahwinan. Kerana kedangkalan inilah maka berlakulah perceraian pada usia perkahwinan yang terlalu muda. Perkahwinan yang sepatutnya mekar mewangi membahagiakan insan yang mengikat hubungan lelaki dan perempuan secara halal.

Kita melihat, artis menjadi ikon kepada perkahwinan iaitu majlisnya. Diadakan besar-besaran. Membarah pula kepada sekalian rakyat jelata hingga kepada marhaen. Populariti antara sebab kos perkahwinan sekarang amatlah tinggi. Sang lelaki kadang-kadang pasrah redha dengan kehendak keluarga sama ada keluarga isteri mahupun keluarga sendiri. Namun ada juga spesis yang ingin menunjukkan dia mampu seperti orang lain juga. Orang suka berlewah-lewah dalam perbelanjaan. Set pelamin mahal. Khidmat katering. Persalinan empat atau lima pasang siap dengan khidmat tukang ambil gambar.

Kebiasaan yang kita lihat lelaki dan wanita yang katanya nekad ingin menjadi pasangan bahagia bahkan sudah mencanangkan kepada dunia bahawa mereka adalah pasangan dua sejoli sehidup semati, tapi hakikatnya mereka masih belum melalui proses halal iaitu akad nikah. Lucunya orang sebegini. Namun kasihan pun ada, betapa jahilnya diri seperti tidak pernah mendapat ilmu agama.

Perhatikan, muda-mudi zaman ini yang berpeleseran berpegang tangan atau berbonceng motorsikal di mana-mana. Mereka ini ada mereka punya idola.. itulah para artis. Rancangan hiburan menjadi kiblat. Apa yang artis buat semuanya bagus. Tiada cacat celanya. Yang artis buat adalah trend terkini. Tak ikut ketinggalan zaman. Maka ramai yang faham sebelum kahwin kena 'couple' dulu sekurang-kurangnya setahun dua. Kenal mengenal sesuai atau tidak. Padahal sudah ke hulu ke hilir macam belangkas.

Zaman sekarang beginilah kebanyakannya. Anda dalam golongan ini? Bermuhasabahlah..


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...