Monday, June 29, 2009

Islam saran kutip hutang cara baik, bayar bila mampu

Oleh Masmawi Abdullah
sumber: berita harian online

FIRMAN Allah bermaksud: “Jika dia (yang berhutang) dalam kesempitan, maka tunggulah sehingga lapang dan dijadikan sedekah adalah lebih baik lagi bagi kamu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 280)

Diriwayatkan, seorang lelaki ditimpa bencana. Hasil tanamannya tidak menjadi hingga hutangnya keliling pinggang. Rasulullah SAW bersabda: “Bersedekahlah kamu kepadanya.”

Syariat Islam menghendaki supaya berlemah lembut dengan orang berhutang. Oleh itu, kita dapati bahawa tuan punya Mursyid al-Hayran menetapkan pada 164 masihi bahawa: “Jika seorang pemilik mempunyai hutang yang sabit, syarak mengharuskan supaya mengambil dari miliknya yang lebih daripada kadar keperluan harian asasi seperti tempat tinggal.

Jika ia tidak mempunyai harta seumpama ia berhutang mengikut syarak itu, hendaklah dijual mengikut ketetapan undang-undang, jika dia tidak mahu menjualnya sendiri untuk membayar hutangnya menurut harga jualannya itu.

Malah, dalam Islam juga boleh sampai ke peringkat melucutkan hak milik daripada tuannya jika disalahgunakan haknya dan jika tidak ada jalan lain untuk menghalang perbuatan itu.

Rasulullah SAW mempraktikkan dasar ini kepada Samrah Ibn Jundub yang mempunyai sepohon kurma dalam kebun seorang lelaki Kristian. Samrah sering keluar masuk ke kebun orang Kristian itu bersama-sama keluarganya sehingga menyusahkan tuan kebun itu.

Lalu tuan kebun mengadu kepada Rasulullah SAW. Samrah dipanggil dan Rasulullah bersabda kepadanya: Juallah pokok kurma awak. Dia enggan menjualnya. Maka Rasulullah SAW menyuruh supaya memotong pokok kurma itu.

Rasulullah SAW berkata: Berikanlah kepada orang (Kristian) itu, kamu akan mendapat pokok seumpama itu di syurga nanti. Dia juga menolak. Rasulullah SAW berkata: Awak telah membawa kemudaratan iaitu mencari kemudaratan orang lain. Kemudian Nabi SAW bersabda kepada pemilik kebun itu: Pergilah kamu dan tebang pokok kurmanya.

Dhahhak Ibn Khalifah al-Ansari mempunyai sebidang tanah yang tidak boleh dimasuki air kecuali dengan mengalirkan air itu melalui kebun Muhammad Ibn Maslamah. Maslamah enggan membenarkan saliran air melalui kebunnya.

Dhahhak mengadu kepada Saidina Umar al Kattab yang menegur Maslamah dan berkata kepadanya: “Adakah timbul apa-apa mudarat jika dialirkan air melalui kebun engkau? Maslamah menjawab: Tidak. Saidina Umar menambah: Demi Allah jika tidak ada saluran untuk mengalirkan air kecuali perut engkau aku akan alirkannya juga.”

Islam juga tidak mengharuskan pemilik tanah mengosongkan tanahnya jika itu akan merosakkan kepentingan awam. Rasulullah SAW memberikan sebidang tanah Al-Aqiqi yang berhampiran dengan Madinah kepada Bilal Ibn al-Harith al-Muzani.

Kemudian dia tidak berupaya untuk membangunkan semua tanahnya. Selepas Umar dilantik menjadi Khalifah, beliau berkata kepada Bilal: “Wahai Bilal, kamu sudah diberi sebidang tanah yang luas oleh Rasulullah SAW dan Baginda tidak menghalang untuk bertanya sesuatu dan engkau mengusahakan apa yang menjadi milikmu. Dia menjawab: Ya benar.

Umar berkata lagi: Lihat di kawasan mana yang kamu mampu mengusahakannya, kamu peganglah ia dan kawasan yang tidak kamu mampu untuk mengusahakannya, maka serahkanlah balik kepada kita dari dibahagi-bahagikan kepada orang Islam.

Bilal menjawab: Aku tidak akan melepaskannya! Demi Allah, Rasulullah sudah memperuntukkannya kepadaku. Umar menjawab: Kami akan jalankan usaha itu, iaitu aku akan mengambil bahagian yang kamu tidak mampu mengusahakannya dan akan kami mengagihkannya kepada orang Islam.

Umar meriwayatkan bahawa sesiapa yang memiliki tanah kemudian dibiarkan selama tiga tahun tanpa diusahakan kemudian datang orang lain menghidupkan tanah itu, maka orang itu lebih berhak daripadanya.

Justeru dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang, eloklah si pemberi hutang mengutip hutang dengan cara baik dan tidak menyusahkan si penerima hutang. Si penerima hutang pula harus membayar hutang apabila berkemampuan menunaikannya.

Islam mahu umat kahwin dapat pahala, elak lakukan maksiat

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

PERKAHWINAN antara ibadah mendekatkan diri kepada Allah. Seorang mukmin yang berkahwin dengan ikhlas untuk memelihara diri daripada maksiat mendapat pahala dan ganjaran Allah.

Pergaulan bebas hari ini mudah menjerumuskan golongan belum berkahwin melakukan perkara dilarang agama seperti bersekedudukan dan seks bebas.

Justeru, untuk mengelak perkara yang boleh merosakkan kesejahteraan hidup bermasyarakat ini, Islam menganjurkan umatnya berkahwin serta membina keluarga bahagia berlandaskan syariat.

Pada masa sama, sebagai umat Islam, kita ingin mengikut serta memenuhi sunah Rasulullah SAW yang menjadi idola. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Nikah itu sunahku, siapa tidak suka sunahku, maka bukan ia daripada golonganku.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sabda Nabi SAW: “Kahwinlah kamu supaya kamu berkembang biak kerana sesungguhnya aku akan bermegah dengan banyaknya kamu di depan umat lain pada hari kiamat.”

Hadis itu menjelaskan kahwin perlu disempurnakan setiap umat Islam yang berasa dirinya mampu berbuat demikian. Walaupun Islam tidak mewajibkan kahwin, namun ia adalah suruhan dan anjuran yang tidak wajar diingkari.

Oleh itu, jika seseorang berkemampuan dari segi fizikal dan mental serta ditakuti melakukan perbuatan nista seperti zina, maka wajib ia kahwin. Jika tidak ada hal ditakuti tadi, sedangkan ia mampu dan sanggup berkahwin, maka hukumnya sunat, tetapi tidak digalakkan dalam Islam. Makruh seseorang berkahwin jika dia tidak mampu atau sanggup memberi nafkah selepas berkahwin.

Namun, perkembangan hari ini memperlihatkan sesetengah pihak menganggap perkahwinan tidak perlu bukan disebabkan tidak mampu sebaliknya sengaja memilih hidup solo kerana inginkan kebebasan mutlak. Islam melarang orang yang sengaja hidup membujang.

Ada juga yang tidak mahu kahwin atas alasan tidak mahu memberi nafkah atau memikul tanggungjawab menjaga serta memenuhi keperluan ahli keluarga. Ini sikap orang malas dan berlawanan syariat Islam.

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Satu dinar engkau belanjakan di jalan Allah dan satu dinar engkau belanjakan buat memerdekakan budak, dan satu dinar engkau belanjakan buat anakmu. Yang paling utama daripada semua itu ialah satu dinar yang engkau belanjakan buat anakmu.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Dzar, Nabi Muhammad SAW bertanya Ukkaf Basir At Tamimi Al Hilali: “Wahai Ukkaf! Apakah engkau mempunyai isteri?

“Ukaff menjawab: Tidak.” Baginda SAW bertanya lagi: “Adakah engkau orang yang mampu dalam keadaan baik dirimu?” Jawab Ukaff: “Ya, aku orang yang mampu.” Mendengar jawapan itu, Nabi SAW pun bersabda seperti memberi keputusan.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Jika begitu engkau daripada saudara syaitan. Jika engkau daripada kaum Nasrani, nescaya engkau termasuk pasturnya. Sesungguhnya sunah kami ialah nikah (kahwin). Sejahat-jahat kamu ialah yang tidak kahwin. Serendah-rendah orang yang mati daripada kamu ialah yang tidak mahu kahwin. Apakah dengan syaitan kamu akan berhubungan? Tidak ada senjata bagi syaitan yang lebih ampuh buat menggoda orang salih, lebih daripada meninggalkan perempuan (tidak kahwin).”

Md Ali Alhamidy dalam bukunya Godaan Setan menulis: “Menahan diri tidak kahwin, pada hal kesanggupan dan kemampuannya masih ada, ditambah memang Allah dan Rasul-Nya menganjurkan kahwin, maka ia akan menanggung hidup yang sangat berat, apa lagi jika nafsu syahwatnya datang merangsang, maka kemungkinan ia terjerumus ke dalam perbuatan nista.”

Sebelum terjerumus seperti kata Md Ali Alhamidy itu, elok yang dewasa, berkemampuan dari segi kewangan, berkeupayaan dan sihat tubuh badan segera menyempurnakan sunah Nabi SAW. Jangan tangguh kerana kahwin melahirkan zuriat yang akan membanggakan Nabi SAW di depan umat lain pada hari kiamat.

Friday, June 26, 2009

Zaman sekarang beginilah kebanyakannya

Bagi saya.. ayat yang saya kutip dalam sebuah akhbar dalam talian agak menggelikan hati dan menusuk kalbu untuk direnungkan, kerana setelah bertahun 'menjalin hubungan' maka inilah yang ditulis oleh wartawan dalam sesi fotografi mereka - Bahagia mendakap kehidupan Nita dan Zahid kini, namun jujur mereka akui, perancangan menamatkan zaman bujang masih belum difikirkan.

Saya tidak pasti apa yang kebanyakan orang faham perkahwinan itu apa sebenarnya. Tapi apa yang saya perhati orang semakin tersasar jauh tuntutan sebenar perkahwinan. Kerana kedangkalan inilah maka berlakulah perceraian pada usia perkahwinan yang terlalu muda. Perkahwinan yang sepatutnya mekar mewangi membahagiakan insan yang mengikat hubungan lelaki dan perempuan secara halal.

Kita melihat, artis menjadi ikon kepada perkahwinan iaitu majlisnya. Diadakan besar-besaran. Membarah pula kepada sekalian rakyat jelata hingga kepada marhaen. Populariti antara sebab kos perkahwinan sekarang amatlah tinggi. Sang lelaki kadang-kadang pasrah redha dengan kehendak keluarga sama ada keluarga isteri mahupun keluarga sendiri. Namun ada juga spesis yang ingin menunjukkan dia mampu seperti orang lain juga. Orang suka berlewah-lewah dalam perbelanjaan. Set pelamin mahal. Khidmat katering. Persalinan empat atau lima pasang siap dengan khidmat tukang ambil gambar.

Kebiasaan yang kita lihat lelaki dan wanita yang katanya nekad ingin menjadi pasangan bahagia bahkan sudah mencanangkan kepada dunia bahawa mereka adalah pasangan dua sejoli sehidup semati, tapi hakikatnya mereka masih belum melalui proses halal iaitu akad nikah. Lucunya orang sebegini. Namun kasihan pun ada, betapa jahilnya diri seperti tidak pernah mendapat ilmu agama.

Perhatikan, muda-mudi zaman ini yang berpeleseran berpegang tangan atau berbonceng motorsikal di mana-mana. Mereka ini ada mereka punya idola.. itulah para artis. Rancangan hiburan menjadi kiblat. Apa yang artis buat semuanya bagus. Tiada cacat celanya. Yang artis buat adalah trend terkini. Tak ikut ketinggalan zaman. Maka ramai yang faham sebelum kahwin kena 'couple' dulu sekurang-kurangnya setahun dua. Kenal mengenal sesuai atau tidak. Padahal sudah ke hulu ke hilir macam belangkas.

Zaman sekarang beginilah kebanyakannya. Anda dalam golongan ini? Bermuhasabahlah..


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...