Wednesday, August 27, 2014

Golongan Ahli Sabar

السلام عليكم ورحمةالله
بسم الله الرحمن الرحيم

'Kami sabar buat taat , dan sabar meninggalkan maksiat.'

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab"
(Surah az-Zumar: 10)

Berdasarkan ayat di atas mereka yang bersabar akan diberikan pahala tanpa hisab, hinggakan di izinkan masuk ke syurga tanpa hisab. Sabar yang paling tinggi adalah sabar melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT tanpa soal dan sabar meninggalkan maksiat dan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah SWT.

Golongan Ahli Sabar adalah mereka yang sabar menahan diri daripada keluh kesah pada sesuatu yang tidak disukai.

Sifat sabar perlu ketika menghadapi tiga perkara berikut:

1. Menahan diri daripada keluh kesah dan menahan diri daripada mengadu kepada yang lain selain daripada Allah SWT ketika berlaku sesuatu bala atau bencana.

2. Menahan diri dalam mengerjakan segala perintah Allah.

3. Menahan diri dalam meninggalkan segala larangan Allah.

Sifat sabar itu dipuji pada syarak kerana seseorang yang bersifat sabar menunjukkan ia beriman dengan sempurna kepada Allah, dan menunjukkan ia taat dan menjunjung segala perintah agama.

Orang yang beriman kepada Allah mengetahui bahawa segala perkara yang berlaku ke atas drinya adalah kehendak Allah yang tidak dapat dielak lagi. Begitulah juga orang yang taat, tidak akan merasa susah dalam mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah SWT, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah SWT tanpa dia membawa dosa sedikitpun."
(Hadis riwayat Tirmizi).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...